Pelajar ‘serbu’ program gunting rambut percuma Pemuda UMNO
AYER MOLEK 27 Feb. – Seramai 80 murid dan pelajar di kawasan ini tidak melepaskan peluang untuk bergunting rambut secara percuma dalam program anjuran Pemuda UMNO Ayer Molek bersama Pemuda UMNO Hang Tuah Jaya pagi tadi.
Program berlangsung di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Molek sejak jam 10 pagi diadakan sempena pembukaan semula sekolah pada 1 dan 8 Mac ini.
Rata-rata murid dan pelajar sekolah yang ditemui Melaka Hari Ini gembira dengan inisiatif tersebut yang disifatkan sangat membantu persiapan mereka bagi pembukaan semula sekolah minggu hadapan.
Murid Tahun 6 dari Sekolah Kebangsaan Bendahara Seri Maharaja di Kandang, dekat sini, Ahmad Haqief Ahmad Arief, 12, teruja untuk kembali ke sekolah dengan rambut baharu.
“Memang seronok dapat gunting rambut selepas lebih sebulan berambut panjang sepanjang berada di rumah. Lebih-lebih lagi dapat gunting secara percuma.
“Saya tak sabar untuk melihat rambut baharu saya bila balik rumah nanti. Harap-harap nampak ‘handsome’ untuk masuk ke sekolah nanti,” katanya ditemui pada program itu yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman
.
Pelajar Tingkatan 1 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Katil, Muhammad Syahmi Irfan Shahrul Nizam, 13, juga semakin bersemangat untuk bersekolah, selepas sekian lama belajar secara dalam talian di rumah.
“Perasaan memang seronok dan gembira nak kembali ke sekolah. Saya paling tak sabar nak belajar dengan cikgu dan jumpa kawan-kawan di sekolah,” ujarnya.
Sementara itu, Rahmad memaklumkan program berkenaan adalah inisiatif tahunan dilaksanakan pemuda UMNO bagi membantu meringankan beban masyarakat setempat.
Ujarnya, pelajar yang datang pada program ini bukan sahaja diberikan khidmat gunting rambut secara percuma, bahkan turut menerima hadiah sampingan daripada penganjur iaitu berupa kotak pensil.
“Saya difahamkan program ini bukan sahaja dianjurkan di Ayer Molek sahaja, bahkan di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hang Tuah Jaya yang diadakan secara serentak pada hari ini.
“Memandangkan ibu bapa kini sedang sibuk membuat persiapan dari segi pakaian dan kelengkapan sekolah, pemuda UMNO telah tampil dengan inisiatif memberi khidmat gunting percuma kepada anak-anak.
“Jadi, saya mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat dan diharap inisiatif ini dapat diteruskan lagi di masa akan datang,” katanya.
KHIDMAT gunting rambut percuma yang diadakan di JAPERUN Ayer Molek, pagi tadi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.