Pelajar SBPI positif, punca dipercayai dari guru atau kakitangan sekolah- Exco Kesihatan
SELANDAR 3 Dis- Guru atau kakitangan sekolah mungkin antara punca kes pertama positif COVID-19 direkodkan membabitkan seorang pelajar Tingkatan Lima Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Selandar.
Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata faktor kemungkinan itu berdasarkan keputusan negatif ujian saringan yang dilakukan terhadap kira-kira 95 pelajar dari Tingkatan Satu hingga Lima pada 23 Nov lalu.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan punca jangkitan, namun setakat ini seorang pelajar sahaja dikesan positif dan dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) MITC Ayer Keroh.
“Menjadi prosedur operasi standard (SOP) bagi sekolah berasrama termasuk SBPI Selandar yang mana semua pelajar mesti menjalani ujian RTK pertama kedua dan ketiga, bagaimanapun hasil keputusan mendapati semuanya negatif.
“Bagaimanapun, terdapat seorang pelajar Tingkatan Lima telah menunjukkan gejala bermula 23 November namun ujian RTK dan PCR kali pertama juga negatif.
“Simptom jangkitan ditunjukkan remaja itu berterusan sehinggalah ujian PCR kali kedua dibuat pada 30 Nov lalu dan hasil ujian mendapati dia positif Covid-19 sebelum dihantar menjalani kuarantin di PKRC MITC, Ayer Keroh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di SBPI Selandar, petang tadi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.