Pelajar OKU teruja terima vaksin
SUNGAI UDANG 27 Sept. – Seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) tidak melepaskan peluang untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19 hari ini.
Pada jam 9 pagi, Muhammad Norirfan Rahman, 16, dengan ditemani kakaknya, Siti Nor Najwa, 18, sudah berada di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sungai Udang, di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Sungai Udang, Tanjung Kling, di sini.
Meskipun terpaksa berbaris panjang, Muhammad Norirfan yang mempunyai ketinggian hanya kira-kira 1.2 meter tidak mahu melepaskan peluang menerima suntikan dos pertama sebagai perisai menghalang jangkitan COVID-19.
Dia berkata, sejak namanya disahkan sebagai penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera minggu lalu, dia amat teruja untuk hadir menerima vaksin di dewan berkenaan.
“Alhamdulillah, hari ini saya dan rakan Sekolah Menengah Kebangsaan Klebang dipanggil menghadiri janji temu di dewan ini dan saya tidak mahu melepaskan peluang itu.
“Vaksin membantu kita melawan COVID-19 dan tanpa vaksin, saya berasa was-was untuk keluar rumah, apatah lagi hadir di tempat yang ada ramai orang,” katanya ketika ditemui di dewan itu.
Anak bongsu daripada dua adik-beradik itu berkata, ibu bapanya serta kakaknya sudah menerima vaksin lengkap dan dia tidak sabar untuk mendapatkan dos kedua kira-kira tiga minggu lagi.
Katanya, hasil daripada cariannya melalui internet, dia menemukan pelbagai maklumat positif mengenai vaksin yang pada asasnya menjamin kesihatan penerima vaksin.
Dia berkata, walaupun ada cerita negatif mengenai vaksin yang kononnya menjejaskan kesihatan penerima vaksin, dia tidak percaya, sebaliknya yakin vaksin mampu menentang virus berbahaya itu.
“Lebih baik saya sakit sedikit masa menerima suntikan daripada menderita sakit dijangkiti COVID-19,” katanya.
Siti Nor Najwa berkata, sebelum ini adiknya sering bertanya bila dia akan menerima suntikan berkenaan dan dia puas memujuknya supaya bersabar menunggu giliran.
“Alhamdulillah, penantian kira-kira sebulan sejak dia mendaftar dengan MySejahtera berakhir hari ini dan saya bersyukur dia dipanggil hadir di dewan ini bersama-sama rakan sekolahnya hari ini,” katanya.
Dia berkata, meskipun berstatus OKU, adiknya tetap aktif bersukan seperti bermain futsal dan badminton.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.