
Pelajar Kolej Vokasional Alor Gajah maut kemalangan
JASIN 24 Ogos – Seorang pelajar Kolej Vokasional Alor Gajah maut selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan sebelum terbabas sendiri masuk ke laluan bertentangan dalam kejadian di Kilometer (KM) 7 Jalan Asahan, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superitendan Mispani Hamdan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, Muhammad Altaaf Danish Mat Nasir, 18 meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di keseluruhan badan.
Katanya, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati motosikal jenis Yamaha LC 135 yang ditunggangi mangsa dari arah Jasin menuju ke Asahan hilang kawalan di kawasan selekoh Jalan Kampung Bukit Asahan, di KM 7 Asahan.
“Motosikal ditunggang mangsa telah terbabas sendiri masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sisi kanan hadapan kereta Toyota Camry yang dari arah Asahan ke Jasin.
“Motosikal itu telah terbakar di lokasi kemalangan dan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mispani berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin bagi bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.