Pelajar jurusan elektrik, hospitaliti diajar berkebun
MASJID TANAH 6 Jan. – Seramai 25 pelajar jurusan hospitaliti dan elektrik Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah didedahkan kepada projek Kebuniti iaitu pertanian bandar yang semakin popular sejak akhir-akhir ini.
Pengarah IKTBN Alor Gajah Syamsul Tahrin Mohd Tahir berkata, projek yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) institut berkenaan diadakan bertujuan untuk memberi nilai tambah pengetahuan dan kemahiran kepada pelajar selain dari kemahiran yang sedang diikuti.
Jelasnya, melalui fasa pertama projek tersebut, pelajar-pelajar telah melalui kursus asas penanaman fertigasi cili bara pada November lalu yang mana mereka diajar penyediaan kebun serta penanaman anak pokok hasil bimbingan Pegawai Pejabat Pertanian Alor Gajah.
Hasil daripada tunjuk ajar itu, ujarnya, sebanyak 500 pokok cili bara telah ditanam dan sebanyak 10 kilogram (kg) telah berjaya dituai untuk dipasarkan.
“Kita berharap melalui projek ini ia dapat memenuhi masa terluang pelajar selepas sesi pembelajaran dengan aktiviti yang berfaedah yang juga dapay membantu mereka menjana pendapatan dan mempelajari asas keusahawanan.
“Selain itu, kita percaya program Kebuniti ini juga dapat mengeratkan lagi silaturahim di antara pegawai dan kakitangan dengan pelajar-pelajar IKTBN Alor Gajah.
“Diharap apa yang telah dipelajari para pelajar dapat diaplikasikan dalam bidang kemahiran yang sedang dipelajari dan mencipta satu produk inovasi terbaharu yang dapat memberi manfaat kepada ramai orang di kemudian hari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan projek Kebuniti di IKTBN Alor Gajah, semalam.
Hadir sama, Timbalan Pengarah HEP Mohd Firdaus Mazlan dan Penyelia Program Mizan Malik.