Pelajar jatuh dari bangunan sekolah sedang dapatkan rawatan psikiatri – Exco
AYER KEROH 21 Julai – Pelajar perempuan Tingkatan 1 yang ditemukan maut dipercayai terjatuh dari bangunan sebuah sekolah menengah di Durian Daun semalam, sedang menjalani rawatan psikiatri.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, maklumat itu diperolehi menerusi siasatan dijalankan pihak sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka.
Katanya, siasatan itu memaklumkan, pelajar berasal dari Muar itu mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Muar, Johor, yang mana dia juga perlu mengambil dua jenis ubat penenang bagi merawat penyakit yang dihidapinya.
“Siasatan masih diteruskan, namun punca mangsa terjatuh dari sekolah itu masih belum diketahui. Tetapi kita tidak menolak kemungkinan mungkin dia mengalami halusinasi,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata, pelajar terbabit juga telah dikenakan perintah pemulihan akhlak selama dua tahun di sebuah sekolah pemulihan akhlak di Melaka iaitu di Bukit Baru tetapi bersekolah di sebuah sekolah menengah di Durian Daun.
Katanya, jenazah pelajar terbabit telah diuruskan oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan pihak asrama dan dijangka akan dibawa serta dikebumikan di Tangkak, Johor, hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang pelajar perempuan Tingkatan 1 ditemukan maut selepas dipercayai terjun dari tingkat 2 bangunan sebuah sekolah menengah di Durian Daun.
Mayat mangsa ditemukan tukang kebun sekolah dalam keadaan terlungkup dan berlumuran darah kira-kira jam 2.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit memaklumkan, siasatan awal menemui sepasang kasut mangsa ditinggalkan di kaki lima berhampiran kelas pelajar itu dan ketika ditemui, mangsa hanya berpakaian sukan sekolah serta berstoking.
Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan, namun polis menolak kemungkinan terdapat unsur-unsur jenayah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.