Pelajar IPT gotong-royong indahkan Pantai Siring

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

SERKAM 20 Jan – Seramai 77 peserta terlibat bagi menjayakan aktiviti gotong-royong mengindahkan pesisir Pantai Siring sejauh satu kilometer, baru-baru ini.

Inisiatif itu dilaksanakan Politeknik Merlimau Melaka (PMM) menerusi Centre of Tourism and Hospitality (CeTraH) bagi program tanggungjawab sosial (CSR) Kutip Sampah Sambil Riadah (KUDAH) dan Trash to Cash.

Pengurus CeTraH PMM, Surina Nordin berkata aktiviti itu memberi galakkan serta kesedaran pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar di kawasan laut serta pantai di Melaka.

“Laut atau pantai salah satu daya tarikan pelancong ke Negeri Melaka, adanya aktiviti ini sudah tentu dapat memupuk kesedaran sivik para pelajar untuk menjaga kebersihan alam sekitar selain dapat beriadah.

“Program ini juga memberi pendedahan luas terhadap kepentingan menjaga dan seterusnya mengubah imej pantai di Melaka supaya lebih ceria,” katanya.

Ujarnya, masyarakat perlu menghargai laut dan pantai kerana ia berpotensi sebagai pusat pelancongan dan salah satu sumber ekonomi negeri.

“Justeru, kita akan teruskan program ini pada masa akan datang kerana memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada PMM, malah kepada negeri Melaka.

“Warga PMM juga dapat pengalaman baharu dalam menjalankan aktiviti khidmat masyarakat sekali gus menerapkan nilai membudayakan riadah dalam kehidupan seharian,” katanya.

Pada program itu PMM turut mempromosikan kursus Penyedia Latihan Halal PMM yang diiktiraf Majlis Profesional Halal, JAKIM dan Kursus Latihan Pengendali Makanan kepada para peserta terutamanya peniaga makanan di Pantai Siring.

Antara barangan yang dikutip pada program itu seperti botol plastik, ranting kayu, plastik makanan dan lain-lain.

Program anjuran bersama Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) ini turut mendapat kerjasama Komuniti Pantai Siring.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1814
Kongsi :
Previous post Lebih 122,000 polis lengkap vaksinasi – KPN
Next post Amaran banjir di Selangor tidak diendah sesetengah pihak – PM
Ubah saiz-+=