Pelajar IPT dapat pelepasan lima hari untuk pulang mengundi
PUTRAJAYA, 22 Okt – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju memberi pelepasan selama lima hari bermula 17 Nov ini kepada pelajar untuk pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Datuk Dr Husaini Omar selepas surat edaran mengenai pelepasan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) untuk pulang mengundi yang ditandatanganinya tular di media sosial hari ini.
Beliau ketika dihubungi Bernama hari ini memaklumkan surat berkenaan telah diedarkan kepada semua IPT awam dan swasta termasuk Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti untuk tindakan lanjut.
“Surat tersebut adalah edaran kepada semua IPT bagi memberi pelepasan kepada pelajar untuk mengundi berdasarkan Undi 18. Kenyataan media berhubung perkara ini akan dikeluarkan nanti,” katanya.
Menurut surat bertarikh 21 Okt itu, tarikh pelepasan bermula dari 17 hingga 21 Nov itu adalah tempoh yang mencukupi buat pelajar untuk membuat perjalanan pergi dan balik dari lokasi mengundi.
Surat berkenaan turut menyatakan semua kelas dan aktiviti pelajar semasa tempoh tersebut hendaklah ditangguhkan dan diadakan ke suatu tarikh lain.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, dengan penamaan calon ditetapkan pada 5 Nov manakala pengundian awal pada 15 Nov.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.