Pelajar berkerperluan khas antara calon duduki SPM hari ini
BUKIT KATIL 2 Mac – Calon berkeperluan khas, Muhammad Nabil Najmi Zulkifli antara calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil pagi ini.
Mohd Nabil yang menghidap penyakit otot tulang kaki mengecut sejak bayi dan calon lain tiba di sekolah berkenaan seawal jam 7 pagi sebagai persediaan sebelm menduduki kertas peperiksaan Bahasa Melayu 1.
Ketika ditemui, Mohd Nabil menyatakan perasaan gementar dan berharap persediaan dilakukan sebelum ini dapat membantunya menjawab soalan dengan cemerlang.
“Calon SPM ketika zaman pendemik ini banyak cabaran, kami jarang bersua muka dengan guru di sekolah, lebih banyak bergantung kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)
“Tapi saya dan kawan-kawan bersemangat untuk masuk ke dewan peperiksaan hari ini. Kami harap dapat menjawab dengan tenang,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu tinjauan dilakukan mendapati calon tiba di sekolah diminta menjalani pemeriksaan suhu badan selain dikehendaki memakai pelitup muka sepanjang tempoh menduduki peperiksaan.
Selain dihantar oleh ibu bapa, ada juga yang datang ke sekolah dengan menaiki kenderaan sendiri.
Suasana menduduki peperiksaan norma baharu juga mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutama penjarakan fizikal yang dipantau oleh guru-guru bertugas.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.