Pelajar aliran agama disaran jadikan TVET jurusan pilihan

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 14 Disember – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dimanfaatkan pelajar dalam aliran agama sebagai jurusan pilihan untuk menyambung pelajaran selepas tamat persekolahan nanti.

TImbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu kerana graduan dalam aliran TVET kini mempunyai peluang dan potensi besar menjadi tenaga mahir yang diperlukan industri.

Katanya, bidang TVET bukan lagi pilihan kedua untuk menyambung pelajaran malahan ia mampu menjanjikan taraf kehidupan dan pendapatan yang lebih baik.

“Sebaik dilantik sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara saya telah menaik taraf pendidikan TVET dengan mewujudkan kolaborasi di antara institusi TVET tempatan dengan lebih 200 pemain industri.

“Kita juga telah berjaya mewujud sistem permohonan TVET baharu yang dikenali sebagai UP_TVET yang berfungsi seperti mana portal pengambilan pelajar Unit Pusat Universiti (UPU).

“Dalam masa yang singkat portal ini berjaya mencatatkan rekod permohonan pelajar mengikuti aliran TVET seramai 62,000 orang daripada hanya 15,000 penawaran. Jadi, kalau ada pelajar (aliran agama) ingin memohon aliran TVET ia sangat mudah dan boleh dilakukan secara dalam talian sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Graduasi Huffaz dan Apresiasi Kecemerlangan Imtiaz Ulul Albab 2023 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Mufti negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Badaruddin Mohd Kassim dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Muhammad Ikram Ibrahim.

Pada majlis tersebut seramai 252 pelajar bergraduasi dan lebih 200 ibu bapa turut hadir bagi bersama-sama meraikan majlis terbabit.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata antara keberhasilan Majlis TVET Negara adalah mentransformasi bidang tersebut ke arah melahirkan tenaga mahir dalam kalangan anak tempatan yang memenuhi keperluan industri dalam dan luar negara.

“Sekretariat TVET telah ditubuhkan menerusi Majlis TVET Negara bagi menyelaraskan program dan kursus di 1,344 institusi TVET seluruh negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1280
Kongsi :
Previous post Tower Hunt: Jelajah dua menara ikonik promosi TMM2024
Next post Pelancaran TMM2024 meriah, boleh disaksikan secara langsung di China
Ubah saiz-+=