PELABURAN TINGKATKAN HASIL NEGERI, WUJUD PELUANG PEKERJAAN UNTUK RAKYAT
SERI NEGERI 27 Disember – Peluang pekerjaan yang diwujudkan untuk rakyat Melaka adalah hasil daripada peningkatan nilai pelaburan masuk ke negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, pelaburan asing yang berjaya dibawa masuk juga memberikan kesan positif kepada Negeri Melaka dalam pelbagai sektor.
“Untuk makluman hasil yang dijanakan amat baik dan sangat besar sama ada daripada segi cukai langsung atau tidak langsung.
“Pendapatan cukai langsung seperti cukai pendapatan syarikat dan individu akan meningkatkan hasil Kerajaan Persekutuan selain pelaburan langsung juga akan meningkatkan pendapatan dalam bentuk duti kastam.
“Penerokaan kawasan pembangunan baharu juga dapat mempertingkatkan nilai cukai kutipan tanah.
“Ekosistem hasil pembukaan aktiviti perniagaan baharu menjana hasil menerusi pendapatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan cukai-cukai taksiran serta bayaran lesen perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam) mengenai jangkaan cukai langsung dan cukai tidak langsung dijanakan hasil daripada pelaburan pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Seri Negeri di sini, hari ini.
Menurut Ab Rauf, selain berbentuk perniagaan, perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan juga dapat memberikan pulangan hasil.
“Ia seperti mengenakan bayaran kepada kelulusan permit, yuran perkhidmatan yuran proses, jualan perkhidmatan, jualan barang harta dan sewa tanah, infrastruktur dan lain-lain hasil bahru.
“Ini adalah merupakan faedah yang kita (Kerajaan Negeri) terima daripada pelabur-pelabur yang datang ke Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.