Pelabuhan antarabangsa di Melaka siap 2027
KUALA LINGGI 23 Januari – Sebuah pelabuhan antarabangsa seluas 251 hektar yang akan dibina di Kuala Linggi bakal memberi pulangan ekonomi lumayan kepada Melaka pada masa akan datang.
Pembinaan pelabuhan antarabangsa itu akan dimulakan selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) hari ini.
Perasmian itu sekali gus menandakan hasrat Kerajaan Negeri dalam memajukan industri maritim di Selat Melaka berada pada landasannya.
KLIP yang dijangka akan disiapkan secara berfasa menjelang 2027 akan mengubah Kuala Linggi sebagai sebuah Hab Perindustrian Global Hijau dan Sumber Tenaga, Pelabuhan dan Perhidmatan Maritim dilengkapi dengan simpanan tangki, limbungan kapal, industri berat limbungan fabrikasi, kawasan pengendalian kargo yang kukuh, dermaga dan kemudahan gudang.
Terdahulu, majlis pecah tanah itu telah dihadiri kira-kira 1,000 kehadiran membabitkan para pelabur, pimpinan kerajaan, penduduk tempatan dan nelayan bagi menyaksikan detik bersejarah itu.
Menerusi program terbabit, Ab Rauf turut menyaksikan beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai antara syarikat pelabur dan pengurusan KLIP, Linggi Base Sdn. Bhd.
Program pemeteraian itu dimulakan dengan Sesi Penyerahan Tapak dari Linggi Base Sdn. Bhd. kepada Syarikat Kejuruteraan Pelabuhan China, Chec Construction (M) Sdn. Bhd.
Ia diikuti MoU bagi Pelaburan Tangki Simpanan Minyak antara Linggi Base Sdn. Bhd. dengan Andaman Oil dan Energis Oilfield sebelum diakhiri dengan sesi MoU Pelaburan KLIP dan Taman Industri antara Linggi Base Sdn. Bhd. dan Shengwei Group.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.