Pekerja syarikat industri maut kereta rempuh pokok

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 25 Januari – Seorang wanita maut selepas kereta dipandu terbabas merempuh pokok dalam kemalangan di Jalan Ayer Keroh – Gapam berhampiran sebuah resort di sini, awal pagi tadi.

Dalam kemalangan pada jam 5.45 pagi itu, Mazuin Mohammad,43 yang memandu kereta jenis Perodua Alza maut di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala dan badan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja di sebuah syarikat industri di Shah Alam dalam perjalanan dari arah Gapam menghala ke Ayer Keroh.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian kereta dipandu mangsa gagal dikawal sebelum terbabas merempuh sebatang pokok di bahu jalan.

“Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata mangsa dipercayai dalam perjalanan dari rumah menghala ke Melaka Sentral untuk menaiki bas ke tempatnya bekerja di Shah Alam.

“Siasatan diteruskan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Pegawai Bomba Kanan II Kamarudin Mat Amin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum anggotanya bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

22754
Kongsi :
Previous post Kalau tak tawar-menawar, itu bukan Kampung Jawa
Next post Jalan Kulai – Kota Tinggi ditutup akibat tanah runtuh
Ubah saiz-+=