Pekerja swasta maut dalam nahas lapan kenderaan
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Osman Mamat berkata dalam kejadian pukul 12.35 tengah malam itu, mangsa adalah pemandu kereta Proton Persona dikenali sebagai Muhammad Syahmi Ishak, 21, dari Kampung Baru, Desa Jaya Sungai Semiar, Sik, Kedah.
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Taiping untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Osman berkata siasatan awal mendapati kenderaan dipandu Muhammad Syahmi telah dilanggar sebuah lori dari belakang yang menyebabkan keretanya hilang kawalan dan terbabas ke lorong kanan lalu melanggar tembok batu penghadang jalan di sebelah kanan.
“Pada masa yang sama sebuah lagi kenderaan di lorong kanan telah bergesel dengan kereta mangsa dan berpusing melanggar sebuah ambulans yang bergerak di lorong kiri, manakala empat kenderaan dari arah yang sama telah bergesel dengan kenderaan mangsa,” katanya.
Beliau berkata tujuh pemandu kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.