Pekerja segera laporkan majikan gagal daftar caruman Perkeso
TELOK MAS 10 Jun – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka mengeluarkan 30 kompaun ke atas majikan di negeri ini yang melakukan kesalahan menerusi Ops Kesan bermula 1 hingga 9 Jun lalu.
Pengarahnya, Abd Razak Omar berkata kesemua kompaun itu melibatkan nilai kira-kira RM18,000 bagi majikan yang gagal mendaftar dan membuat caruman untuk pekerja mereka atas pelbagai alasan.
“Perkeso sedang jalankan Ops Kesan bermula 1 Jun lalu, semua majikan perlu ambil tanggungjawab untuk daftar dan carumkan pekerja mereka agar tidak melanggar Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).
“Kita dah buat sembilan hari Ops Kesan dan sebanyak 30 kompaun telah dikeluarkan dengan nilai RM18,000, setiap majikan boleh dikenakan kompaun RM500 sehingga RM4,000.
“Jika pekerja dapati majikan gagal membuat caruman untuk mereka, sila laporkan kepada Perkeso dengan segera dan kita akan membantu mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Faedah Perkeso yang disempurnakan EXCO Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Ngwe Hee Sem di Tambak Bugis, Bukit Lintang di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abd Razak turut mengarahkan mana-mana majikan yang tidak mendaftar dan membuat caruman terhadap pekerja mereka segera menyelesaikan perkara tersebut sebelum dikenakan tindakan.
“Saya nasihat majikan tampil diri jumpa Perkeso, sebelum ini kita buat pemutiha yang mana hanya memberikan peringatan kepada majikan, tapi bulan ini kita dah jalan Ops Kesan untuk pastikan mereka (majikan) patuh.
“Majikan yang gagal lapor kemalangan pekerja pun ada juga, mereka (pekerja) boleh datang kepada kita…kita tak nak pekerja ini jadi mangsa disebabkan majikan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.