Pekerja putus jari, majikan didenda RM20,000
Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak dalam satu kenyataan menyebut syarikat MSBB Engineering Sdn Bhd yang diwakili pengarah syarikatnya, Liew Chee Weng, 53, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Norashima Khalid.
“MSBB Engineering Sdn Bhd sebagai majikan telah gagal untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya semasa bekerja iaitu gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi aktiviti kerja pengendalian jentera ‘surface planer’ sehingga menyebabkan berlaku kemalangan kepada seorang pekerja tempatan berusia 19 tahun.
“Kemalangan yang berlaku pada pukul 8.40 pagi 19 Mac tahun lepas telah menyebabkan mangsa mendapat kecederaan akibat terkena mata ketam yang sedang berputar ketika sedang menjalankan kerja-kerja mengetam kayu menggunakan mesin ‘surface planer’,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menjelaskan mangsa dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk mendapatkan rawatan dan disahkan putus sepenuhnya hujung ruas jari telunjuk dan tisu terpotong pada hujung jari tengah di tangan kiri mangsa.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.