Pekerja kilang maut motosikal rempuh Myvi

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 5 Jun – Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Tun Abdul Razak berhampiran Ayer Keroh Heights, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa Muhibbuddin Fitri Farid, 19, maut di lokasi kejadian.

Manakala rakan wanitanya yang juga pembonceng cedera dan dirawat di Zon Merah, Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC 135 dalam perjalanan dari arah Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menghala ke Ayer Keroh.

Katanya, manakala Perodua Myvi dipandu lelaki warga emas berusia 77 tahun pula dalam perjalanan dari Ayer Keroh menghala ke Taman Ayer Keroh Heights.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dikatakan tidak sempat mengelak Perodua Myvi yang ketika itu membelok ke kanan untuk masuk ke simpang Taman Ayer Keroh Heights.

“Motosikal ditunggang mangsa merempuh bahagian hadapan sebelah kiri kenderaan terbabit sebelum dia terjatuh keatas jalan raya,” katanya.

Menurutnya, akibat kemalangan itu mangsa mengalami kecederaan parah dikepala dan disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

“Pembonceng motosikal pula dilaporkan parah di bahagian kepala dan dikejarkan ke hospital bagi menerima rawatan.

“Mangsa yang maut dibawa ke Jabatan Forensik bagi proses bedah siasat dan pihak polis sedang mengesan saksi yang ada melihat kejadian bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 diteruskan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1337
Kongsi :
Previous post Dua peristiwa segar diingatan Tun Dr. Mohd Ali
Next post Pelancongan Melaka kini di barisan hadapan
Ubah saiz-+=