Pekerja kilang maut digilis di lebuh raya

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

ALOR GAJAH 1 September – Seorang pekerja kilang maut, manakala rakannya cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal, sebuah kereta, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 207 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Arah Selatan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi, mangsa M. Kumaresan, 29, yang menunggang motosikal Kawasaki KR150 meninggal dunia di tempat kejadian akibat digilis salah satu kenderaan terlibat.

Manakala rakannya, M. Satiyasilan, 27, yang menunggang Yamaha RXZ patah tulang pinggang dan kini ditempatkan di zon merah Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua penunggang motosikal sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru.

Katanya, ketika di lokasi, kedua-dua penunggang motosikal dipercayai berlanggar sesama sendiri menyebabkan salah seorang daripadanya terjatuh di lorong tengah.

Pada masa sama, katanya, datang tiga buah kenderaan iaitu Toyota Vios, Toyota Alphard dan Ford Ranger dari arah belakang yang telah menggilis mangsa dan motosikal yang berada di tengah jalan.

“Siasatan awal belum dapat mengenal pasti kenderaan yang telah menggilis mangsa dalam kemalangan itu.

“Akibat digilis, tubuh mangsa hancur separuh badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kenderaan terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM),” katanya.

Menurut beliau, siasatan lanjut masih diteruskan dan saksi awam diminta tampil bagi membantu siasatan.

WhatsApp Image 2023-09-01 at 14.11.40
KETUA Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kebetulan melalui lokasi kemalangan, pagi tadi.

Terdahulu, kemalangan tersebut turut mendapat perhatian Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang kebetulan melalui jalan berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6410
Kongsi :
Previous post Bunuh anak: Ibu dan teman lelaki didakwa
Next post JBPM terima enam peralatan khas kesan bahan kimia dari jarak jauh
Ubah saiz-+=