Pekerja kedai aksesori telefon bimbit didakwa bunuh majikan
Yap Kok Ming, 54, mengangguk faham, namun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Lelaki itu didakwa membunuh Lee Siew Lean, 49, di kedai menjual aksesori telefon bimbit di Taman Rasi Jaya, Menglembu di sini antara 10 pagi hingga 12 tengah hari, 4 Jan lepas.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum dengan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 6 Mac ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 4 Jan lepas, seorang pengusaha kedai aksesori telefon bimbit dilaporkan maut dipercayai ditikam dengan senjata tajam oleh pekerjanya dalam satu pergaduhan akibat perselisihan faham berkaitan masalah kewangan di hadapan sebuah kedai serbaneka di Taman Rasi Jaya.
Teman lelaki mangsa berusia 42 tahun juga mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun manakala suspek yang turut cedera berjaya ditahan polis.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.