Pekerja buruh ditahan cabul kanak-kanak
AYER KEROH 4 Januari – Seorang buruh binaan etnik Rohingya ditahan dipercayai mencabul seorang kanak-kanak perempuan dalam kejadian di Semabok di sini pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata suspek lelaki berusia 35 tahun itu merupakan jiran mangsa ditahan sepasukan polis selepas menerima laporan dibuat bapa kanak-kanak terbabit.
Menurutnya, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 8.30 malam pada 26 Disember lalu dan mangsa yang berusia 12 tahun menceritakan kejadian itu kepada bapanya pada keesokan hari.
“Mangsa mendakwa semasa sedang bermain bola di hadapan rumah, dia ditarik suspek dan bertindak meraba payudaranya beberapa kali, tetapi kejadian tidak disedari oleh adik lelakinya yang turut berada di tempat kejadian.
“Menurut bapa mangsa, anak kedua daripada tiga beradik itu pada awalnya takut menceritakan kejadian itu kepadanya,” katanya ketika dihubungi.
Ujarnya, siasatan dijalankan mendapati suspek turut mengeluarkan kata-kata berbaur lucah kepada adik mangsa mengenai fizikal tubuh kakaknya itu.
“Mangsa turut mendakwa, sebelum kejadian suspek pernah menegur dia dan adiknya yang ketika itu ingin ke rumah nenek mereka yang tinggal tidak jauh dari situ,” katanya.
Mengulas lanjut, Christopher berkata suspek kini direman sehingga 9 Januari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.