Pekerja bengkel maut motosikal bertembung kereta

Masa Membaca:51 Saat

MASJID TANAH 12 Januari – Seorang penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Paya Rumput, Masjid Tanah, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, Othman Abd Ghani, 41, yang menunggang motosikal jenis Benelli meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, kaki dan tangan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, hasil siasatan mendapati mangsa yang merupakan seorang pekerja bengkel sedang dalam perjalanan dari Masjid Tanah menghala ke Lubok China.

Katanya, ketika melalui lokasi kejadian, mangsa dikatakan telah melanggar belakang sebuah kereta di laluannya sebelum terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.

“Motosikal dipandu mangsa kemudiannya bertembung dengan kereta dipandu wanita berusia 30 tahun yang juga guru sekolah rendah agama.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Alor Gajah dan permohonan telah dikeluarkan untuk proses pembedahan bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3573
Kongsi :
Previous post MBMB teliti, siasat aduan rumah retak
Next post Tiga terlibat kes khianat api, simbah cat ditahan di Kulai
Ubah saiz-+=