Pekerja bayar cukai LHDN perlu diberi kelonggaran – Saravanan
AYER KEROH 22 Sept – Kementerian Sumber Manusia akan berbincang dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz supaya memberi kelonggaran kepada pekerja yang membayar cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, setakat ini kementeriannya masih belum menerima sebarang aduan atau rungutan pekerja yang menghadapi masalah untuk membayar cukai kepada badan itu.
Bagaimanapun katanya, tindakan memburu pekerja untuk membayar cukai LHDN dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) disifatkan tidak sesuai memandangkan keadaan ekonomi negara masih perlahan dan dalam proses pemulihan.
“Kita harus beri kelonggaran kepada semua jenis bayaran, sebab rakyat menghadapi masalah besar menghadapi krisis kewangan akibat COVID-19.
“Saya akan berbincang dengan Menteri Kewangan supaya diberi sedikit kelonggaran mengenai perkara itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvesyen Badan Perhubungan MIC Negeri Melaka di D’Village Resort, di sini.
Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan MIC negeri, Datuk MS Mahadevan.
Mengulas lanjut, beliau yakin perkara itu tidak menjadi beban untuk diselesaikan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang prihatin dengan nasib rakyat.
“Mungkin pegawai (LHDN) menghantar notis mengikut peraturan sedia ada, jadi kita akan berbincang di peringkat kabinet atau kementerian untuk melonggarkan sedikit atau beri sedikit tempoh masa (pembayaran cukai tertunggak),” katanya.