Sorting by

×

PEKERJA ASING TIKAM RAKAN SEDANG TIDUR GARA-GARA KRIKET

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

JASIN 11 Januari – Pergaduhan mulut mengenai sukan kriket berakhir dengan tragedi berdarah apabila seorang pekerja asing warganegara Nepal parah ditikam rakan senegaranya ketika sedang tidur.

Kejadian berlaku di sebuah asrama pekerja sebuah kilang ayam di Kampung Pondok Kempas, di sini, kelmarin.

Susulan itu, seorang lelaki warganegara Nepal berusia 23 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori telah ditahan pihak polis di asrama berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Zawawi berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada pergaduhan di antara mangsa dengan suspek mengenai perlawanan kriket membabitkan dua kelab di Nepal yang berlaku kira-kira dua bulan lalu hingga berlaku pertengkaran dan pergelutan di antara kedua-duanya.

Menurutnya, pergelutan itu telah dileraikan rakan-rakan lain, namun ketika mangsa sedang tidur, suspek dipercayai telah bertindak menikam mangsa dengan sebilah pisau.

“Mangsa yang merupakan seorang operator pengredan telur berusia 28 tahun telah ditikam di kepala, dada dan lengan dan kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Jasin.

“Suspek yang juga mengalami kecederaan di bahagian badan, muka, mulut, tangan dan kaki turut dibawa ke Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan dan pengambilan sampel asid deoksiribonukleik (DNA).

“Saringan ujian air kencing mendapati suspek bebas pengambilan barang terlarang,” katanya.

Menurut beliau, berdasarkan soal siasat, suspek yang bekerja di Malaysia selama empat tahun telah mengaku melakukan perbuatan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyebabkan cedera parah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika disabit bersalah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

100
Kongsi :
Previous post TERIMA KASIH SUDI ‘JENGUK’ KAMI
Next post PERMATA TERSEMBUNYI KUALA LINGGI
Ubah saiz-+=