![6064435934839030437](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/6064435934839030437.jpg?v=1738837941)
PEKERJA ASING HUNI PANGSAPURI DI AYER KEROH DIPINDAHKAN SECARA BERPERINGKAT
AYER KEROH 6 Februari – Masalah sosial dan isu kekotoran yang membelenggu penduduk di sebuah pangsapuri di kawasan Ayer Keroh susulan video tular di laman TikTok pada 3 Februari lalu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee.
Chee Yee dalam memaklumkan pangsapuri tersebut telah menjadi pilihan majikan memandangkan lokasinya yang terletak berhampiran Kawasan Perindustrian Ayer Keroh, di mana satu pertiga daripada keseluruhan unit di pangsapuri itu dihuni warga asing, sebelum ini.
Namun jelas beliau, susulan pelbagai isu yang timbul, majikan-majikan telah dikenakan syarat oleh pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Melaka untuk tidak lagi menempatkan warga asing di pangsapuri tersebut, di mana pemindahan itu telah dibuat secara berperingkat sejak awal 2024.
Tambahnya, dalam tempoh dua bulan akan datang, sekurang-kurangnya 10 unit pangsapuri lagi yang dihuni oleh pekerja asing akan dikosongkan.
“Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh merupakan kawasan perindustrian yang menjadi tulang belakang kepada ekonomi negeri.
“Kesan sampingan daripada itu, isu penempatan pekerja asing menjadi satu cabaran sejak puluhan tahun yang lalu dan memerlukan solusi yang bersifat jangka masa panjang,” katanya dalam satu kenyataan media.
Justeru, beliau yang juga Timbalan Speaker DUN berkata, usaha Kerajaan Negeri Melaka melakukan penstrukturan semula tempat tinggal pekerja asing seperti penubuhan bangunan asrama pekerja berpusat (CLQ) wajar diberi sokongan.
Jelasnya, usaha itu diyakini dapat menyelesaikan masalah berbangkit, selain mencapai keseimbangan di antara pembangunan sektor perindustrian dan kesejahteraan dalam kalangan komuniti di DUN Ayer Keroh.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.