
Pekerja asing dihalang memasuki Melaka
KUALA SUNGAI BARU 15 Julai – Kerajaan negeri memutuskan menghalang kemasukan pekerja warga asing ke negeri ini untuk sektor perkilangan.
Exco Tenaga Kerja, Datuk Ismail Othman berkata, sebaliknya tenaga kerja di sektor industri akan dibuka kepada warga tempatan.
“Kita mengarahkan industri di Melaka yang memerlukan pekerja hendaklah memberi keutamaan kepada warga tempatan sekali gus mampu memberi peluang mereka yang terjejas dalam tempoh sukar ini.
“Malah, kerajaan negeri juga telah memperhalusi beberapa prosedur operasi standard (SOP) buat pekerja asing di negeri ini dalam mengekang penularan pandemik COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali meninjau program Outreach Vaksinasi di Pusat Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) Dewan Undangan Negeri Kuala Linggi di Kompleks JAPERUN Kuala Linggi hari ini.
Hadir sama, Exco Kesihatan dan Antidadah, Datuk Rahmad Mariman dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Melaka, Habibah Jaafar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.