Pekebun kecil tanaman sawit tidak untung ‘besar’ harga sawit naik
DUYONG 10 Jun – Meskipun harga buah tandan segar (BTS) sawit dilaporkan mencecah lebih RM1,000 bagi satu tan bulan lalu, namun pekebun kecil mendakwa tidak meraih keuntungan ‘runtuh’ seperti diharapkan berikutan terpaksa menanggung kos pengeluaran tanaman itu.
Bagi pekebun kecil Ishak Mohd Kari, 45 yang memiliki empat hektar ladang kelapa sawit, harga jualan sawit bergantung kepada peraih yang mana setakat ini menetapkan kira-kira RM700 bagi satu tan sawit dan bukannya RM1,000 sebagaimana diuar-uarkan.
Katanya, kenaikan itu juga bagaimanapun tidak memberi kesan terhadap keuntungan pekebun kecil sepertinya kerana terpaksa mengeluarkan belanja yang tinggi dari segi pengeluaran baja, upah pekerja dan penyelenggaraan ladang.
“Jika dibandingkan dulu kita raih pendapatan sekitar RM350 hingga RM450 (bagi satu tan sawit), namun sekarang meningkat kepada RM700, memang tidak dinafikan jumlah itu meningkat dua kali ganda.
“Namun, satu yang saya ingin saya bangkitkan dan saya percaya pekebun kecil lain juga bersetuju, realitinya nilai yang saya jual semalam hanya RM700 sahaja, jadi perbezaan lebih kurang RM300 kerana harga itulah yang ditetapkan peraih.
“Dari segi keuntungan penuh bukan kami yang dapat kerana ia bergantung kepada peraih, kalau peraih naikkan harga, kami dapat lebih. Memang ada kenaikan tetapi bukan seperti mana yang dimaklumkan kementerian berjumlah RM1,000 secara umum,” katanya ketika ditemui di ladangnya di Umbai, di sini.
Ishak yang juga bekerja sebagai pengamal undang-undang berkata, dia tidak pasti sama ada peraih menetapkan harga berdasarkan harga pasaran atau sebaliknya, namun dia difahamkan harga itu ditetapkan berdasarkan nilai pasaran kilang.
“Jumlah yang kita dapat bersih, kita perlu tolak kos membersihkan kebun, kos membaja dan kos lain, sebenarnya yang kita dapat lebih kurang RM300 hingga RM400 sahaja.
“Sebelum ini lebih teruk, kalau ikut perkiraan mudah dahulu RM350 hingga RM450 bagi satu tan sawit dan jika ditolak upah pekerja dan membaja, jumlah bersih yang kita dapat lebih kurang RM50 hingga RM60, jadi melainkan kita usahakan sendiri kos pengeluaran juga rendah,” katanya.
Dia berkata sepanjang dua tahun mengusahakan tanaman sawit secara sendirian tanpa mengupah orang tengah, dia terpaksa mendapatkan bekalan baja sendiri selain mengeluarkan kos tinggi untuk menyelenggara ladang yang diwarisi daripada arwah bapanya.
Katanya, tanaman sawit bukan seperti tanaman getah yang mendapat bantuan daripada pelbagai agensi termasuk Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
“Kebanyakan pengusaha getah dapat bantuan termasuk dari segi bantuan baja tetapi bagi pekebun sawit, baja adalah atas kami sendiri selain kos selenggaran ladang atas usaha pemilik tanah sendiri,” katanya
Pada 7 Mei lalu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dilapor berkata, harga BTS bagi Semenanjung Malaysia merekodkan kenaikan tertinggi dalam sejarah apabila mencecah paras melebihi RM1,000 satu tan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.