Pekebun kecil ‘berkampung’ di Melaka bincang masa depan industri sawit

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

BANDA HILIR 21 Ogos – Kira-kira 300 pekebun kecil sawit dari beberapa negeri di seluruh negara dihimpunkan dalam sebuah persidangan bagi membincangkan strategi memperkasakan sektor itu di negara ini.

Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MBOP), Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, menerusi Persidangan Pekebun Kecil Sawit Kebangsaan (PKPKS) itu, ia mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan produktiviti dan kelestarian industri sawit, selain membantu kedudukan Malaysia sebagai pengeluar utama minyak sawit dunia.

Beliau berkata, PKPKS yang dianjurkan dengan tema ‘Pekebun Lestari, Memperkasa Ekonomi’ merupakan sebuah persidangan yang dianjurkan secara dwi-tahunan, di mana ia menjadi platform terbaik antara pekebun kecil bagi memartabatkan industri tersebut.

“Persidangan yang diadakan ini juga selaras dengan sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) sebagai platform terbaik untuk mencerminkan penekanan kerajaan dan MPOB untuk meningkatkan produktiviti melalui amalan pengeluaran mampan.

“Dengan tema kali ini, ia juga menyokong usaha meningkatkan jalinan kerjasama dalam industri di mana penglibatan semua pihak terutama pekebun kecil amat penting untuk meningkatkan hasil dan pendapatan melalui pengeluaran sawit mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian PKPKS yang disempurnakan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, di sebuah hotel, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong dan Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, persidangan tersebut bakal membentangkan 13 perkara penting menerusi empat sesi utama, selain turut mengadakan majlis penyampaian Anugerah Koperasi Penanam Sawit Mampan Terbaik bagi kategori Zon Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Daripada empat sesi tersebut ia akan dimulakan dengan slot pertama yang bertajuk Cabaran Global dan Hala Tuju Pekebun Kecil diikuti sesi kedua, Peluang Ke Arah Kemakmuran, ketiga, Pemindahan Teknologi dan Peningkatan Produktiviti dan diakhiri dengan sesi keempat yang bertajuk Implikasi Projek Pembangunan Kerajaan Kepada Pekebun Kecil.

“Bersempena persidangan ini juga, dua buah buku iaitu ‘Integrasi Tanaman dan Ternakan Ladang Sawit’ dan ‘Kod Amalan Baik Tapak Semaian Untuk Tapak Semaian (CoPN)’ Edisi Ketiga turut dilancarkan sebagai rujukan utama buat semua pemain industri sawit terutama pekebun kecil,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

406
Kongsi :
Previous post 1,240 berbasikal teroka Alor Gajah
Next post Tiga keluarga buntu, banjir kilat ‘air kumbahan’ tiada penyelesaian
Ubah saiz-+=