Sorting by

×

Pekan Kuala Sungai Baru dinaiki air

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

KUALA LINGGI 16 Nov. – Pertama kali dalam tempoh lima tahun, air pasang besar melimpah masuk ke dalam kedai dan pejabat di Pekan Kuala Sungai Baru, di sini pagi ini.

Fenomena berkenaan menyebabkan empat kedai dan pejabat di pekan itu dinaiki air setinggi kira-kira lima sentimeter.

Air mulai naik pada jam 7 pagi tadi sebelum surut kira-kira tiga jam selepas itu, menyebabkan peniaga dan pemilik pejabat bermandi peluh membersihkan premis masing-masing.

Norazura Senin, 30, berkata, beliau terkejut apabila mendapati pejabat yang berfungsi sebagai pusat pembayaran pelbagai jenis bil sudah dinaiki air pasang besar ketika tiba di premis itu pada jam 8 pagi.

“Sebelum ini memang pernah berlaku fenomena air pasang besar yang menyebabkan air sungai yang bersambung dengan kuala melimpah tetapi tidak pernah masuk ke dalam pejabat.

NORAZURA mengelap air yang memasuki pejabatnya akibat fenomena air pasang besar di Pekan Kuala Sungai Baru, hari ini. Foto Din Ahmad

“Hari ini air pasang besar melimpah masuk ke dalam pejabat dan menyebabkan saya terpaksa menunggu hingga air surut sebelum menjalankan kerja pembersihan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Bagaimanapun, semua fail dan dokumen pembayaran bil tidak rosak kerana disimpan di tempat tinggi, katanya.

Ariffin Amiruddin, 63, berkata kedai runcitnya dinaiki air pasang besar tetapi tidak menyebabkan kerosakan barangan perniagaan kerana semua barangan itu diletakkan di atas para.

“Saya memang sudah menjangka akan berlaku fenomena pasang besar tetapi tidak menyangka air akan melimpah masuk ke dalam kedai dan ini adalah kali yang pertama dalam tempoh sekurang-kurangnya lima tahun, air melimpah ke dalam kedai,” katanya.

Beliau berkata, fenomena berkenaan lazimnya berlaku antara Oktober hingga Disember yang ada kaitan dengan perubahan angin monsun daripada monsun barat daya kepada monsun timur laut.

Bagaimanapun ia tidak menjejaskan perniagaannya kerana pelanggan tidak keberatan untuk melangkah dalam air setinggi kira-kira lima sentimeter.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Abdul Hakim Hamzah dalam kenyataannya berkata, fenomena air pasang besar yang bermula semalam hingga Rabu ini dijangka mencatatkan paras air antara 2.6 meter hingga 2.8 meter.

“Paras air pada jam 7.49 pagi ini dijangka setinggi 2.8 meter dan pada jam 8.29 pagi esok setinggi 2.8 meter serta 2.6 meter pada jam 9.10 pagi pada Rabu depan,” katanya.

Fenomena berkenaan boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan kawasan lain yang turut menerima hujan lebat.

Sehubungan itu, beliau meminta ketua kampung dan ketua jabatan serta agensi kerajaan yang ada kaitan dengan banjir supaya mengambil langkah perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) masing-masing.

Views:

863
Kongsi :
Previous post Puteri UMNO Kota Melaka serah cadangan bantu peniaga terjejas
Next post Tuah reka logo, Azrul Rizad bawa pulang RM5,000
Ubah saiz-+=