Pejuang Covid-19 kongsikan pengalaman sepanjang SJR
DISAAT negara bergelut dengan pandemik Covid-19 (koronavirus) yang semakin serius melanda negara sejak Mac lalu, ia menyaksikan pelbagai perintah dikeluarkan kerajaan bagi menangani penularan yang makin melarat.
Hinggakan seluruh dunia ‘digigit’ kesakitan, ekonomi pula semakin terkesan, tetapi usaha penyatuan dan sokongan rakyat berjaya membangkitkan semula negara dari ‘mimpi ngeri’.
Masakan tidak, tanpa disiplin yang tegas dan kaedah keselamatan yang strategik negara, segalanya tidak akan tercapai.
Menerusi bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang menjalankan sekatan jalan raya (SJR) sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, penularan wabak itu berjaya dibendung.
Meniti misi 84 hari dari PKP hingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), golongan barisan hadapan ini antara pejuang negara dalam menangani perang penyakit ini yang pastinya harus kita dijulangkan.
Disepanjang tempoh itu pelbagai pengalaman dialami anggota polis sewaktu bertugas menjalankan SJR di beberapa lokasi di negeri ini.
Menerusi tinjauan Melaka Hari Ini (MHI), beberapa anggota yang telah ditemui sanggup berkongsi pengalaman ketika bertugas di beberapa lokasi SJR termasuk situasi berdepan pelbagai ragam manusia.
PERJUANGANMU HARUS DIKENANG
Berdepan dengan pelbagai helah si pelaku jenayah adalah perkara biasa, namun dek pengalaman bekerja bertahun lama ragam mereka mudah dihidu petugas polis yang mengawal lalu lintas.
Menurut Lans Koperal Burhan Lateh, 28, yang bertugas di Plaza Tol Alor Gajah, tangkapan sindiket dadah telah berjaya dikesannya sendiri tanpa sebarang laporan adalah satu kejayaan terbesarnya dalam bertahun berkhidmat bersama agensi itu.
Jelasnya, beliau begitu senang menghidu raut wajah penjenayah melalui lenggok badannya, malah pada ketika kejadian pemeriksaan dilakukan ke atas kenderaan suspek menemukan dadah yang disorok di bawah kerusi penumpang kenderaan tersebut.
“Pelbagai ragam manusia kami saksikan sepanjang SJR di beberapa lokasi sekitar daerah ini, termasuk berdepan dengan situasi pemandu menyorokkan penumpang di but kereta demi meloloskan diri dari SJR.
“Bukan itu saja, ada juga helah isteri yang sanggup memalsukan ‘surat pelepasan’ sedangkan pemilik surat tersebut adalah milik suaminya,” katanya.
Biarpun bertugas sepenuh masa dengan waktu rehat yang minima, perjuangan menangani wabak tersebut tetap diteruskan dengan pelbagai rintangan.
Berpuluh tahun berkhidmat, bagi Sarjan Sazali Shaari, 56, situasi tersebut ialah perang paling sukar dihadapinya berbanding sebelum ini.
Biarpun pernah bertugas ketika negara melaksanakan perintah darurat dan juga era menangani komunis ketika bertugas di Pahang, namun katanya, misi mengekang wabak Covid-19 adalah yang paling getir yang pernah dihadapinya.
“Jika dulu, kalau kita berperang pun kita masih lagi boleh mengesan di mana musuh itu berada dengan perangkap-perangkapnya, namun hari ini, Covid-19, kita tak dapat lihat, sedar-sedar terus terkena.
“Inilah perjuangan yang kita katakan begitu sulit dan persediaan kaedah keselamatan yang cukup tinggi juga perlu dipertingkatkan daripada penularan berlaku.
PAHIT MANIS PENGALAMAN BERHARGA
Berdepan terikan panas, malah situasi berdepan ribut petir adalah perkara yang tidak dapat dilupakan sepanjang operasi berkenaan.
Tambah Burhan, berdepan keadaan khemah yang bocor dan keadaan tapak lokasi yang mudah dinaiki air menjadikan kasut mereka disaluti lumpur adalah perkara biasa buat mereka.
“Lokasi di kawasan itu memang agak gelap ditambah pula dengan gangguan ribuan agas,” katanya.
Pada masa sama, Koperal Ime Sadan, 29,berkata biarpun berdepan cabaran, sokongan masyarakat membuatkannya bersemangat untuk terus berbakti kepada negara.
Ia apabila sebahagian masyarakat datang berkongsikan rezeki dengan memberikan makanan.
“Pengalaman yang kami tak dapat lupakan juga kami pernah diberikan gugusan petai oleh penduduk kampung sebagai tanda penghargaan kepada kami antara yang bakal menjadi kenangan yang tak dapat dilupakan.
“Pernah juga kami berdepan situasi dengan pesakit Covid-19, rasa gerun tetapi langkah keselamatan tetapi diambil dan dipertingkat,” katanya.
Sementara itu, menurut Lans Koperal Muhd Faez Hakkim Ishak, 28, berkata, pelbagai pengalaman dialami sepanjang SJR dilaksanakan termasuk dikunjungi pelbagai figura umum termasuk wakil rakyat di kawasan berkenaan.
“Ada juga pemain seni serta wakil rakyat termasuk Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md. Ali hadir memberi penghargaan kepada kami.
“Kami lihat beliau umpama pemimpin yang berjiwa rakyat, cukuplah sekadar ucapan terima kasih yang disampaikan pada masa itu membuatkan semangat kami bergelora.
“Biarpun selepas PKPP ini kami diarahkan bertugas menjaga SJR lagi bagi membendung Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), inilah tugas kami demi keselamatan rakyat.
“Kami tak perlukan apa-apa cuma berilah kerjasama dalam kehidupan bertolak ansur dengan dititikkan sifat saling hormat-menghormati itu,” katanya.