Sorting by

×

Pejam celik Papayun Kitchen Shellout sudah setahun

Masa Membaca:2 Minit, 42 Saat

BANDARAYA MELAKA 24 November – Pejam celik Papayun Kitchen Shellout sudah berusia setahun dan menyambut ulang tahun pertamanya pada 23 November lalu.

Sebalik penerimaan pelanggan dan kejayaan itu tersembunyi pengorbanan serta keberanian pemiliknya memulakan perniagaan dalam suasana ekonomi dunia merudum selain negara ketika itu dibawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Pemilik Papayun Kitchen Shellout, Mohd Yunus Mazlan, 51, menganggap kejayaan itu sebagai langkah kanan berikutan tidak mempunyai pengalaman dalam bidang penyediaan makanan atau menguruskan restoran.

“Mengapa Papayun. Nama restorannya ini adalah sempena gabungan panggilan anak-anaknya dan isteri yang memanggil saya papa serta yun, jadilah Papayun,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ulang Tahun Pertama Papayun Kitchen Shellout di Jalan Kampung Hulu, di sini 23 November lalu.

photo_2022-11-24_16-19-18
Pelanggan Papayun Kitchen Shellout, Reami Abd Rahman, 47. Foto Iqmal Haqim Rosman

Memeriahkan lagi majlis pihak pengurusan restoran turut mengadakan cabutan bertuah menawarkan hadiah kepada 52 pengunjung bertuah.

Yunus mengikut gerak hati dan memulakan operasi selepas semua kelengkapan dibeli, malah pembantu yang digaji pula diambil dalam kalangan mereka yang hilang pekerjaan akibat PKP.

“Alhamdullilah 23 November tahun lepas jadi saksi, saya terus ambil keputusan, buka kepada orang ramai, persiapan memang saya buat dengan rapi, bermula dengan lapan pekerja kini saya sudah ada 17 pembantu.

“Syukur sejak dibuka hinggalah sekarang Papayun Kitchen Shellout tidak putus menerima kunjungan pelanggan tempatan dan luar Negeri Melaka, pelbagai bangsa Melayu, Cina serta India. Malah ada yang datang menjamu selera di restoran ini pada setiap bulan,” katanya.

Menurutnya, aneka pilihan makanan laut yang segar seperti udang, udang kara, sotong, kepah, ketam raja selain berasaskan cengkerang ditawarkan di restoran itu.

Jelasnya selain berpuas hati dengan kualiti makanan lokasi restoran di tebing Sungai Melaka turut menarik perhatian pengunjung.

“Harga makanan laut berbeza-beza namun berpatutan dengan kualitinya, orang kata makanan kayangan dengan harga ‘marhaen’.

“Bukan sekadar shellout kami juga ada asam pedas, makanan barat seperti spageti, pasta dan macam-macam lagi.

“Kebiasaan shellout ini kita tawarkan dalam bentuk set mengikut jenis makanan laut. Harga setiap set bermula serendah RM42,” katanya.

Restoran itu mampu memuatkan hingga 200 pengunjung dalam satu masa dan kebiasaannya tempahan penuh setiap kali musim cuti sekolah atau perayaan.

photo_2022-11-24_16-20-21
Pelanggan menikmati hidangan sempena Majlis Ulangtahun Pertama Papayun Kitchen Shellout di Jalan Kampung Hulu. Foto Iqmal Haqim Rosman

Bagi menjaga mutu perkhidmatan dia dan pekerja akan mengadakan perjumpaan pada setiap minggu bagi menambah baik kekurangan dilontarkan pelanggan termasuk hal membabitkan rasa makanan dihidangkan.

Seperti pengusaha lain Yunus mengimpikan restoran itu berkembang ke peringkat lebih tinggi.

“Harapan saya sudah pasti, untuk melebarkan sayap Papayun Kitchen dan menjadi penyedia shellout terbaik di Negeri Melaka. Kalau boleh kami mahu jadi ikon makanan, sebut sahaja Melaka pasti orang ramai teringat Papayun Kitchen Shellout.

“Namun, semuanya tidak akan datang bergolek, doa dan kerja keras harus seiiring,” ujar bapa kepada dua anak itu.

Sementara itu pelanggan dari Pulau Pinang, Reami Abd Rahman, 47, berkata dia bersama enam ahli keluarga yang bercuti di Melaka sudah dua kali singgah ke restoran itu.

“Kali ini suasana lebih meriah kerana ada majlis sambutan ulang tahun restoran. Makanan sedap dan perkhidmatan ‘tip top’, insya-Allah kami sekeluarga akan makan di sini lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4635
Kongsi :
Previous post Japerun Sg Rambai bantu baiki atap rosak akibat ribut
Next post Sensasi rentapan ‘yu berkepala pari’ Kelong Umbai
Ubah saiz-+=