Banjir: Pejabat MPAG terjejas, kenderaan dipindah
ALOR GAJAH 19 Nov – Hujan berterusan sejak kelmarin mengakibatkan pejabat Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) turut dinaiki air.
Yang Dipertuanya, Mohd Fadhil Hassan berkata pejabat majlis perbandaran itu mula dinaiki air sejak Jumaat sebelum surut semalam.
Bagaimanapun katanya, hujan berterusan semalam mengakibatkan air longkang mula melimpah dan membanjiri perkarangan pejabat itu awal pagi ini.
“Air (dari longkang) tidak boleh ‘discharge’ keluar berikutan keadaan banjir di sekitar daerah juga belum surut sepenuhnya.
“Semalam sudah surut namun pagi ini air naik semula.
“Bagaimanapun, keadaan masih terkawal dan hanya kawasan rendah dinaiki air,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata berikutan kejadian itu pihaknya memindahkan kenderaan MPAG ke kawasan selamat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.