Sorting by

×

PEJABAT JKM MELAKA BAKAL BERPINDAH KE KOMPLEKS CMI

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 1 Februari – Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka bakal berpindah ke Kompleks Perbadanan Ketua Menteri (CMI) secara berperingkat bermula hujung bulan ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, bangunan baharu yang dahulunya merupakan Bangunan K-Inkubator (kini dikenali Kompleks CMI) itu kini sedang dalam fasa akhir naik taraf.

Katanya, bagi fasa pertama, ia akan melibatkan perpindahan seramai 60 kakitangan dari Pejabat Kebajikan Daerah Melaka Tengah akan mula bekerja di bangunan baharu tersebut pada penghujung Februari ini.

“Manakala bagi fasa kedua, kerja-kerja akan dilanjutkan bagi pengubahsuaian JKM Melaka dan ia dijangka siap sepenuhnya pada November depan.

“Seramai 130 kakitangan dan pegawai akan memulakan operasi secara keseluruhan pada November tahun ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Kalsom berkata, dengan adanya bangunan baharu yang disewakan daripada itu ia dapat memberi lebih keselesaan bukan sahaja kepada warga kerja JKM Melaka, bahkan mesra orang ramai, di mana ia menyediakan kawasan parkir yang lebih luas.

“Jika dibandingkan dengan yang sekarang ini di Kota Cemerlang, di bangunan baharu ini lebih selesa, kerana pelanggan kita kebanyakan terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya jadi fasiliti di pejabat lama agak terhad.

“Sekarang baik pulih di bangunan ini telah mencapai 80 peratus dan kakitangan JKM Melaka akan berpindah secara berfasa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

262
Kongsi :
Previous post ALOR GAJAH ‘HOTWHEELS’ TARIK PESERTA CILIK, WARGA EMAS
Next post TAHUN BAHARU CINA SATUKAN KELUARGA CAMPUR