PEJABAT BAHARU JKM LEBIH MESRA KLIEN
PENGKALAN BATU 5 Februari – Pejabat baharu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka di Kompleks Perbadanan Ketua Menteri (CMI), Ayer Keroh dijadual akan mula beroperasi Mac ini bakal memberikan lebih keselesaan khususnya kepada klien yang datang untuk berurusan.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, perpindahan ke bangunan baharu itu disambut baik oleh warga kerja JKM Melaka berikutan dilengkapi pelbagai kemudahan dan fasiliti yang amat selesa.
Kalsom berkata, sebelum ini pihaknya kerap menerima rungutan daripada pelanggan yang berdepan kesukaran ketika hadir ke Pejabat JKM yang terletak di Kota Cemerlang.
“Mewakili warga kerja JKM saya amat gembira dan berpuas hati dengan perpindahan ini kerana ia menyelesaikan masalah dihadapi khususnya membabitkan parkir serta ruangan premis yang terhad.
“Semua sedia maklum pelanggan kita terdiri daripada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) justeru, kawasan yang luas dan ‘mesra pengguna’ amat perlu. Bangunan baharu itu nantiakan memberikan keselesaan kepada klien-klien yang datang berurusan di JKM selain suasananya yang tenang,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Joy Chan Advertising Sdn Bhd dan sambutan Tahun Baharu Cina di Peringgit Jaya, semalam.
Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin dan Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Leng Chau Yen.
Menurut Kalsom, proses perpindahan ke bangunan baharu di Kompleks CMI sebelum ini dikenali sebagai Bangunan K-Inkubator sudah mencapai 80 peratus.
“Saya difahamkan kesemua kakitangan JKM Melaka seramai 356 orang dan mereka akan berpindah secara berperingkat. Dijangka bangunan baharu ini akan memulakan operasi pada Mac iaitu selepas hari raya Aidilfitri.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang begitu prihatin dan membenarkan JKM melaksanakan tugas yang diamanahkan di bangunan baharu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.