PEGAWAI, TIGA ANGGOTA POLIS DITAHAN BANTU SIASATAN PEMERASAN
JOHOR BAHRU 2 September – Seorang pegawai dan tiga anggota polis ditahan minggu lepas dipercayai terlibat dengan kes pemerasan wang RM45,000 terhadap dua ahli perniagaan.
Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata keempat-empat mereka yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
“Bukti-bukti sedang dikumpul dan apabila siasatan lengkap, kita akan serah kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
“Buat waktu ini mereka telah diberi jaminan polis dan masih bertugas di unit tidak aktif. Kita jamin siasatan menyeluruh akan dibuat dan tindakan tegas akan diambil,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan mendapati pegawai dan tiga anggota polis terbabit tidak mempunyai sebarang rekod masalah disiplin.
Terdahulu, tular menerusi media sosial satu laporan polis dibuat seorang ahli perniagaan yang mendakwa beliau dan rakannya didatangi dua lelaki mengaku sebagai anggota polis dan telah membawa mereka ke IPD Seri Alam pada Selasa lepas.
Difahamkan, setibanya di sana, kedua-dua ahli perniagaan berkenaan dibawa ke dalam sebuah bilik dan diperkenalkan dengan dua lagi anggota polis yang mendakwa mangsa dan rakannya terlibat dengan sindiket penipuan dan pemerdagangan manusia.
Polis berkenaan kemudian meminta wang RM150,000 untuk membantu mangsa menyelesaikan kes berkenaan, namun mangsa hanya mampu memberikan sejumlah RM45,000.
Mangsa kemudian membuat laporan polis berkaitan perkara itu keesokan harinya (28 Ogos) di IPD Johor Bahru Selatan, di sini. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.