Sorting by

×

Pegawai polis didakwa terima wang tunai berjumlah RM6,200

Masa Membaca:2 Minit, 33 Saat

AYER KEROH: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah didakwa di Mahkamah Sesyen 1, di sini, hari ini atas dua pertuduhan menerima wang tunai berjumlah RM6,200 daripada seorang lelaki dua tahun lalu.

Tertuduh, JS Kalvinderjit, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan sejurus dibacakan pertuduhan itu di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menerima suatu barang berharga iaitu wang tunai RM1,200 tanpa balasan daripada Mohd Hadaffy Mokhtar Ruzaini dengan mengetahui dia mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh.

TERTUDUH, Kalvinderjit dikawal anggota polis ketika keluar dari kamar mahkamah untuk dibawa ke kaunter pembayaran ikat jamin.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Jasin pada 8 Mac hingga 9 Mac 2019 antara jam 11.30 malam hingga 2 pagi.

Pertuduhan adalah mengikut mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut seksyen sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, Kalvinderjit didakwa pada sama, tarikh dan di tempat sama menerima wang tunai RM5,000 tanpa balasan daripada Mohd Hadaffy yang diketahuinya mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan itu dikurangkan atas alasan anak guamnya perlu menjaga serta membiayai rawatan ibu mentua yang menghidap strok.

Katanya, tertuduh seorang pegawai polis dan akan memberikan kerjasama kepada pihak SPRM untuk hadir ke mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 untuk kedua-dua kes dengan seorang penjamin dan kes untuk sebutan semula pada 21 Mei depan.

SEORANG individu cuba melindungi wajah tertuduh yang dengan beg sandangnya.

Dalam pada itu, suasana di pekarangan Mahkamah Sesyen sedikit tegang apabila beberapa individu dipercayai anggota polis cuba menghalang petugas media daripada merakamkan gambar tertuduh ketika dibawa ke bahagian pengurusan mahkamah untuk proses jaminan.

Individu-individu tersebut bertindak mengiringi tertuduh dan berdiri di hadapan lensa kamera serta ada yang cuba menutup pandangan dengan beg sandang walaupun diminta untuk memberikan kerjasama, hingga menyebabkan ada media yang hampir terjatuh.

Ketika kejadian hanya wartawan Melaka Hari Ini dan China Press serta juruvideo TV3 membuat liputan kes itu dan menunggu sejak kira-kira jam 8 pagi bagi mendapatkan gambar tertuduh.

Bagaimanapun tertuduh yang hadir sendiri ke mahkamah memasuki mahkamah lebih awal apabila menghidu kehadiran media.

Seorang pegawai SPRM yang bertugas ketika itu mendakwa kesal dengan insiden itu yang pertama kali berlaku sepanjang mereka bertugas mengiringi tertuduh di mahkamah di Melaka.

“Selepas ini semua tertuduh kes SPRM biar pihak polis mahkamah yang bawa,” katanya yang enggan dikenali.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd Ali ketika dihubungi MHI mengakui terkejut dengan perkara itu dan berjanji akan membuat semakan anggota yang terbabit cuba menghalang tugas wartawan.

“Insya-Allah, saya akan ambil tindakan. Terima kasih atas makluman perkara ini,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1587
Kongsi :
Previous post Ayahanda Permaisuri Selangor meninggal dunia
Next post Aduan pelajar ‘dikompaun’ disiasat
Ubah saiz-+=