Pegawai masjid perlu perkasa ilmu pentadbiran, pengurusan

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 13 Ogos – Pengerusi mahupun jawatankuasa masjid dan surau perlu menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti bagi meningkatkan profesionalisme pengurusan institusi itu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Badaruddin Mohd Kassim berkata, pengerusi dan jawatankuasa adalah duta kecil yang boleh menyampaikan maklumat tentang isu serta masalah sedang dihadapi.

“Pegawai-pegawai masjid dan surau perlu diperkasakan dengan ilmu pentadbiran dan pengurusan supaya dapat mentadbir dengan lebih berkesan. Anda adalah duta kecil kami, diharap semua dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pengerusi mahupun jawatankuasa masjid dan surau dengan penuh berintegriti serta berhemah.

“Tuan-tuan juga adalah ejen atau wakil kepada JAIM yang terdekat, boleh menjadi mata serta telinga jika terdapat apa-apa isu di masjid dan surau,” katanya ketika berucap pada Program Muzakarah Jawatankuasa Masjid dan Surau Negeri Melaka 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), semalam.

Program itu dirasmikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Hadir sama Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Badaruddin berharap program berkenaan akan menjadi platform bermanfaat untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan idea.

“Marilah bersama-sama berusaha memperkasa institusi masjid dan surau agar dapat terus memainkan peranan penting dalam membina dan memperkukuhkan masyarakat kita.

“Sehingga kini jumlah masjid yang terdapat di Melaka adalah sebanyak 224 iaitu meliputi sebanyak 185 masjid kariah, dua masjid berstatus kerajaan dan kariah, lima masjid kerajaan sepenuhnya, lapan masjid institusi dan 24 masjid lama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

137
Kongsi :
Previous post ‘Rumah Demang Abdul Ghani kekal gah’
Next post Laksana piagam ICOMOS, jaga tapak warisan
Ubah saiz-+=