Sorting by

×

Pegawai farmasi rugi lebih RM57,000 dalam pelaburan tidak wujud

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 31 Mac – Seorang pegawai farmasi berusia 27 tahun kerugian RM57,150 akibat terpedaya dengan pelaburan saham tidak wujud menerusi aplikasi WeChat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri Superintendan E Sundra Rajan berkata, mangsa menerima pautan laman sesawang mengenai pelaburan saham dikenali Euro-Asia Trade menerusi aplikasi komunikasi berkenaan pada 3 Mac lalu.

Katanya, mangsa kemudian menekan pautan itu dan memuat turun aplikasi pelaburan itu.

“Mangsa diterangkan mengenai pelaburan itu menerusi servis pelanggan dalam aplikasi terbabit dan berminat menyertai pelaburan itu dengan bayaran pertama sebanyak RM1,000.

“Bayaran itu dibuat menerusi akaun sebuah bank diberikan suspek dan mangsa telah menerima pulangan wang pelaburan itu sebanyak RM3,000 yang dikreditkan ke dalam akaun mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Sundra Rajan, mangsa yang terpedaya dengan hasil pulangan itu membuat lapan transaksi secara berperingkat berjumlah RM57,150 ke dalam beberapa akaun bank dalam tempoh bermula 6 Mac sehingga 21 Mac lalu.

“Bagaimanapun, sehingga kini mangsa tidak mendapat pulangan sebagaimana dijanjikan oleh suspek.

“Berikutan itu, mangsa yang menyedari dirinya ditipu membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Minyak semalam,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, Sundra Rajan berkata, dalam tempoh Januari hingga semalam, sebanyak 35 kes pelaburan tidak wujud dilaporkan di negeri ini membabitkan kerugian lebih RM1.1 juta.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1557
Kongsi :
Previous post PKPD Sekolah Henry Gurney dilanjutkan hingga 16 April
Next post PR1MA kaji semula 20 projek yang ditamatkan- Shahidan
Ubah saiz-+=