Sorting by

×

Pegaga kini tanaman berharga

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

ASAHAN 10 Januari – Seorang bapa kepada empat anak tidak menyangka usahanya mengusahakan tanaman pegaga membuahkan hasil dan kini menjadi sumber pendapatan baharu untuknya dan keluarga.

Bermula dengan hanya menanam 20 beg semaian tumbuhan daripada keluarga pasli atau nama saintifiknya centella asiatica, kini Hasrul Aswar Abu Hassan, 40, berjaya membesarkan tanaman pegaga itu kepada 2,000 polibeg yang dapat dituai setiap hari.

Menurut Hasrul Aswar, dia tidak menyangka cetusan untuk menanam pegaga itu memberi sinar baharu buat dirinya untuk terus mencebur diri dalam bidang pertanian selepas percubaannya menanam cili secara fertigasi tidak membuahkan hasil.

“Tanpa sedar sudah tiga tahun saya usaha tanaman pegaga ini meskipun dahulu bermula dengan hanya 20 polibeg untuk percubaan dan kini jumlah semaian sudah mencecah 2,000 polibeg. Awal percubaan dahulu apabila lihat tanaman cili sudah tidak mampu bertahan saya terfikir untuk mencuba tanaman lain.

“Ternyata daun pegaga ini membuahkan hasil malah penjagaannya amat mudah serta tidak memerlukan modal yang besar.

“Menariknya juga tanaman pegaga ini tidak banyak musuh atau serangga perosak yang boleh merosakkan hasil,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di kebun pegaga miliknya di Kampung Jus, di sini.

Photo1704782757
PEGAGA merupakan antara tanaman yang mudah dijaga, namun memerlukan ilmu yang mencukupi. Foto Iqmal Haqim Rosman

Hasrul Aswar berkata, ketika awal pembabitannya menanam daun pegaga itu, benih digunakannya hanya daripada induk liar yang tumbuh di kawasan rumahnya dan kemudiannya disemai di dalam beg semaian untuk diusahakan.

“Usaha dan minat itu penting tetapi pada masa sama ilmu juga perlu bagi membantu kita meningkatkan lagi hasil tuaian. Memang tanaman pegaga ini mudah, namun saya tetap merujuk dan mendapatkan bimbingan daripada Pertubuhan Peladang.

“Permintaan pegaga ini sebenarnya luas tetapi disebabkan tidak dapat menampung permintaan saya kini hanya fokuskan untuk pasaran di Jasin sahaja dan alhamdulillah hasil yang diperoleh memberangsangkan meskipun hasilnya tidak begitu lumayan tetapi ia mampu untuk menampung perbelanjaan serta kos tanaman.

“Untuk jualan, setiap pek pegaga akan dibungkuskan pada berat 250 gram setiap satu sebelum ditolak kepada peniaga atau pelanggan dan kebiasaannya permintaan akan bertambah setiap kali hujung minggu,” katanya.

Photo1704782969
PEGAGA memiliki pelbagai khasiat. Foto Iqmal Haqim Rosman

Jelasnya lagi, dengan kepelbagaian khasiat pegaga selain boleh dijadikan produk hiliran, dia kini dalam proses untuk membesarkan tanaman ulam-ulaman itu dengan berpindah ke lokasi yang lebih luas selain dalam usaha untuk menjalinkan kerjasama dengan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Antara impian saya untuk tempoh lima tahun akan datang untuk mempunyai produk sendiri seperti kerepek atau minuman, selain bergelar usahawan industri kecil dan sederhana (IKS),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6300
Kongsi :
Previous post Lebih 3,000 sertai Perarakan Wangkang, Jumaat ini
Next post Perluas tanaman pegaga di Asahan, bantu asnaf jana pendapatan
Ubah saiz-+=