Peduli gelandangan, sifar kemiskinan
BANDARAYA MELAKA 5 April – Golongan gelandangan mungkin kurang bernasib baik, namun mereka juga insan biasa yang memerlukan perhatian daripada masyarakat.
Perkara itu diakui Pegawai Perhubungan Kebajikan dan Operasi Ketua Menteri, Mohd Jamian Maharam yang berpendapat program kemasyarakatan bagi menyantuni golongan gelandangan ini perlu diperluaskan pada masa akan datang.
Justeru, beliau memuji inisiatif dilakukan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pertubuhan Yayasan Sahabat Ukhwah Melaka dengan kerjasama pensyarah serta pelajar dari Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka (MiCOST) menghulurkan sumbangan makanan dan kit COVID-19 pada 31 Mac lalu.
“Ia selaras dengan matlamat Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali untuk menjadikan Melaka sebagai negeri sifar kemiskinan.
“YAB sendiri mengganggap ini kerja amal dan beliau minta saya kaji selidik perkara ini bagaimana kita dapat membantu golongan gelandangan ini pada masa akan datang seperti mencari sumber-sumber dan pekerjaan buat mereka.
“Saya memujilah misi yang dilakukan oleh NGO ini yang saya fahamkan sudah lebih dua tahun mereka ini membantu dan memberi makan kepada golongan gelandangan setiap minggu,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).
Dalam misi itu katanya, seramai lebih 10 orang peserta terlibat untuk menghulurkan sumbangan kepada kira-kira 30 orang gelandangan.
“Kami juga tak lupa bagi sumbangan kepada pengawal keselamatan yang bertugas pada waktu malam di kawasan sekitar Bandar Melaka,” katanya.
Tinjauan MHI turut mendapati, ramai gelandangan berehat dan berteduh di kaki lima bangunan sekitar jam 11 malam dan terdapat segelintir daripada mereka yang menyembunyikan diri ketika dihampiri oleh peserta dan pengamal media.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.