PEDi rangka program lahir usahawan digital
AYER KEROH 14 Oktober – Pelbagai program berunsurkan penekanan digital akan dilaksanakan dengan lebih serius dan meluas di 30 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Negeri Melaka.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, usaha itu dilaksanakan bagi mencapai sasaran Kerajaan Negeri untuk melahirkan lebih lima orang usahawan digital setiap setahun.
Katanya, masyarakat terutama penduduk di luar bandar perlu merebut peluang yang ditawarkan, sekali gus menjana pendapatan hasil daripada platform digital.
“Kita akan berbincang bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memperluaskan pelbagai program-program bermanfaat di PEDi seperti mengadakan pertandingan-pertandingan, menghimpunkan usahawan-usahawan berjaya di bawah PEDi dan sebagainya.
“Kita minta mereka yang berjaya ini kongsikan pengalaman mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi. Masyarakat kampung ini pada kebiasannya takut dengan pendekatan ekonomi digital ini sebab masih ramai yang tidak tahu.
“Mereka perlu kuasai teknik-teknik yang didedahkan dalam PEDi ini kerana ramai yang memberi alasan tidak tahu sedangkan mereka ada telefon bimbit, ada komputer di depan mata dan PEDi itu memang ada dekat kampung mereka, jadi mereka perlu rebut peluang-peluang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Jelajah Saya Digital @ Melaka sempena penganjuran Smart Melaka Internatioanl Conference and Expo 2023 (SMIX2023) diadakan di Auditorium Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem dan Ketua Bahagian Hal Ehwal Korporat Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Osman Ali Hamzah.
Terdahulu, program Jelajah Saya Digital @ Melaka yang dianjurkan menghimpunkan seramai 200 usahawan dari seluruh negeri bagi didedahkan dengan penekanan digital daripada MDEC.
Seri jelajah yang diperkenalkan MDEC sejak Ogos 2021 telah menganjurkan program sama pada lebih 49 lokasi seluruh negara dan dimanfaatkan oleh seramai 16,927 peserta.
Dalam pada itu beliau berkata pihaknya berpuas hati dengan penganjuran SMIX2023 kali ini yang menjalankan pelbagai pendedahan menarik kepada rakyat berkaitan teknologi digital bagi menyokong hasrat Kerajaan Negeri membentuk sebagai negeri pintar menerusi perlaksanaan Smart Melaka.
Katanya, penganjuran itu akan dilaksanakan pada tahun hadapan dan ditambah baik dengan pelbagai pendekatan lain.
“Insya-Allah kita akan lanjutkan lagi penganjuran ini pada tahun hadapan dimana selepas ini kita akan berbincang dan pastinya ada kerjasama juga utuk kenal pasti apa kelemahan dan kita akan tambah baik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.