‘Pecutan terakhir’ calon SPM 2020
AYER KEROH 11 Feb. – Pelbagai kaedah dipraktikkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 untuk mengulang kaji pelajaran di saat akhir sebelum menduduki peperiksaan sebenar pada 22 Februari ini.
Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, Nur Hakimy Nordin, 18, dia memilih cara pembelajaran dalam talian seperti menonton saluran Youtube dan video pembelajaran lain untuk memahami subjek tertentu yang kurang difahami.
Pelajar aliran Perniagaan itu berkata, memandangkan pembelajaran secara bersemuka di sekolah berakhir pada Selasa lalu, dia terpaksa mengunakan cara yang bersesuaian untuk membuat persiapan terbaik.
“Kita terpaksa menggunakan apa sahaja cara yang boleh sebagai ‘pecutan terakhir’ untuk menghadapi SPM. Seperti saya, bagi subjek tertentu seperti Matematik, saya lebih gemar memilih Youtube untuk memahaminya.
“Selain itu, saya juga membuat banyak latihan dan mengulang kaji kertas peperiksaan SPM lepas untuk memahirkan diri dengan pelbagai bentuk soalan dalam peperiksaan sebenar nanti.
“Perlu diakui, 2020 merupakan tahun sukar untuk kami tetapi apa pun, saya berharap dapat buat yang terbaik untuk diri sendiri dan menggembirakan keluarga,” katanya.
Seorang lagi calon SPM 2020 dari SMK Paya Rumput, Muhd Syafiq Ikmal Muhd Sabki, 18, pula memilih pembelajaran secara berkumpulan dengan rakan-rakan menjelang peperiksaan sebenar.
“Biasanya kami belajar bersama setiap hujung minggu dalam kumpulan kecil. Saya lebih suka cara begini kerana dapat mengurangkan tekanan, malah lazimnya kita lebih mudah faham apabila rakan beri penerangan.
“Tetapi pada masa sama, saya juga mengikuti kelas dalam talian dan kelas tambahan yang disediakan guru sebagai persiapan terakhir,” ujarnya.
Sementara itu, bagi seorang bapa, Amir Ali Mohamad, 43, mengambil pendekatan untuk menghadiahkan telefon pintar kepada anaknya, Muhammad Syazril, 18 yang merupakan calon SPM 2020 dari SMK Ayer Keroh.
Menurutnya, hadiah diberikan sebelum menduduki peperiksaan itu bukan untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya dia percaya ia boleh menjadi pemangkin semangat anaknya melakukan yang terbaik dalam peperiksaan.
“Bila dapat hadiah itu, anak saya memang terkejut kerana sudah tentulah anak zaman sekarang mempunyai impian untuk memiliki gajet terkini. Ini satu risiko yang saya ambil tetapi saya yakin dengan anak saya.
“Alhamdulillah, daripada hadiah tersebut saya dapat melihat kesannya yang mana walaupun dia mengatakan jangan meletak harapan terlalu tinggi, namun dia berjanji untuk berusaha sehabis baik,” katanya.
Bagaimanapun, pada masa sama, Amir Ali berharap sesi pembelajaran bersemuka dapat diteruskan di sekolah sehingga tarikh peperiksaan memandangkan ia penting untuk mengekalkan suasana dan rentak calon SPM yang akan menduduki peperiksaan berbanding memberikan cuti rehat dua minggu.
“Suasana pembelajaran di sekolah amat penting untuk pelajar kerana di situlah juga tempat untuk mereka ‘berperang’ dalam peperiksaan nanti. Secara peribadi, saya khuatir jika rehat terlalu lama, rentak mereka akan terjejas pada hari peperiksaan nanti,” ujarnya.