PDRM uji set solar, kamera pemantauan bantu logistik di SJR

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

MELAKA 18 Mac. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menguji penggunaan set lampu solar mudah alih dan kamera pemantauan yang boleh diakses secara dalam talian di Sekatan Jalan Raya (SJR) Alor Gajah dalam usaha mengoptimumkan perbelanjaan dan meningkatkan perkhidmatan pasukan itu.

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dua set lampu solar mudah alih dan satu kamera pemantauan yang dibekalkan oleh Koperasi PDRM (KPDRM), telah mula dipasang di SJR Alor Gajah hari ini.

Katanya set lampu solar mudah alih itu yang boleh dilipat bagi memudahkan ia dibawa ke mana-mana, boleh membekalkan cahaya kepada khemah di SJR dengan baik; dan penggunaannya boleh menggantikan penggunaan set generator yang menggunakan petrol ataupun diesel.

AYUB (kanan) menyerahkan RM3,000 zakat wakalah kepada Abdul Majid sambil diperhatikan oleh Mazlan pada Majlis Penyerahan Wang Pampasan Takaful dan Zakat kepada Waris Anggota PDRM Zon Selatan di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Wang Pampasan Takaful dan Zakat kepada Waris Anggota PDRM Zon Selatan di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka yang turut dihadiri Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali dan Pengerusi Koperasi PDRM Datuk Seri Ayub Yaakub di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Ayub menyerahkan sejumlah RM3,000 zakat wakalah kepada Abdul Majid untuk diserahkan kepada pegawai atau anggota polis yang terlibat dalam kemalangan ketika menjalankan tugas.

Mazlan berkata kamera pemantauan yang boleh diakses secara dalam talian pula akan memudahkan komander operasi untuk melakukan pemantauan terhadap pegawai dan anggota ketika mereka menjalankan tugas.

“Kalau kedua-dua produk ini berjaya kita mungkin akan buat perolehan,” katanya.

Dalam pada itu, Ayub berkata set lampu solar mudah alih dan kamera pemantauan yang boleh diakses secara dalam talian adalah produk yang masih di peringkat konsep dan ia percubaan pertama pihaknya menguji kedua-dua produk itu.

“Ketika ini PDRM melakukan sekatan jalan raya di merata-rata tempat, dan ada kawasan yang tidak mempunyai bekalan elektrik dan sukar diakses, jadi dengan adanya produk ini ia diharap mampu membantu pasukan keselamatan berkenaan untuk menjalankan operasi dengan lebih berkesan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

712
Kongsi :
Previous post Awas anda diperhatikan RM-SBV
Next post Isu kalimah Allah: Jakim tunggu perkenan Majlis Raja-Raja untuk tindakan lanjut
Ubah saiz-+=