PDRM tewaskan Polis Thailand, julang Piala Rujirawongse
BANDA HILIR 16 Ogos – Pasukan ragbi Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas trofi Kejohanan Ragbi Piala Rujirawongse ke-35 daripada Polis Diraja Thailand (RTP), dalam aksi di Stadium Hang Tuah, petang semalam.
Kejohanan tahunan bersama Pasukan Ragbi RTP itu mempertandingkan dua kategori iaitu kategori veteran dan terbuka.
Pasukan Sang Saka Biru memenangi kedua-dua kategori, iaitu kategori terbuka dengan 32-21 mata manakala untuk kategori veteran, 26-0 mata.
Terdahulu, pada kejohanan edisi Ke-34 pada tahun lalu yang diadakan di Pattaya, Thailand, skuad PDRM hanya memenangi kategori veteran manakala RTP memenangi kategori terbuka.
Dimaklumkan, kehadiran skuad RTP adalah bagi menyemarakkan lagi semangat kesukanan dan mengukuhkan hubungan literal dua negara serta kedua-dua institusi kepolisan.
Kejohanan yang dipertandingkan buat kali pertama pada tahun 1961 merupakan hasil ilham Ketua Polis Thailand pada ketika itu, Jeneral Polis, Praset Rujirawongse bersama Mejar Polis Siri Suknanusart dan diteruskan sehingga ke hari ini.
Malam tadi, kira-kira 350 peserta termasuk kakitangan PDRM dan wakil RTP telah diraikan pada Majlis Makan Malam Sempena Kejohanan Ragbi Piala Rujirawongse Bagi Edisi Ke-35 Tahun 2024 di sebuah hotel di sini.
Hadir menyempurnakan majlis makan malam tersebut, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama isteri, Datin Seri Utama Zuriyah Abdul Aziz.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Leftenan Jeneral Polis Kornchai Klayklueng mewakili Ketua Polis Thailand; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta barisan Exco dan kenamaan lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.