PDRM siap siaga untuk PRN Johor – Timbalan Ketua Polis Negara
KUALA LUMPUR, 24 Jan – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersedia bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, termasuk menggerakkan dan menambah anggota polis daripada negeri lain, dalam membantu kelancaran proses pilihan raya negeri berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain berkata pihaknya menyediakan keanggotaan mencukupi bagi tujuan itu, dan penyusunan gerak kerja berikutnya dilaksanakan oleh ketua polis negeri.
“Apabila dimaklumkan bubar sahaja (Dewan Undangan Negeri Johor), saya sendiri bercakap dengan Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat mengenai persediaan, bukan sahaja dari sudut keanggotaan yang mencukupi.
“Sekiranya keanggotaan di daerah atau kontinjen (masih) tidak mencukupi, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman akan turut membantu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Op Selamat 17 Tahun Baru Cina di Hentian Rehat dan Rawat Restoran Jejantas Sungai Buloh dekat sini hari ini.
Sabtu lepas Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Sementara itu mengenai Op Selamat 17 Razarudin berkata polis mengadakannya kembali, selepas kira-kira dua tahun ia dihentikan berikutan pandemik COVID-19.
Beliau berkata operasi itu mengekalkan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi”, dan akan bermula pada 28 Jan hingga 6 Feb depan dengan dua objektif utama iaitu mencegah jenayah pecah rumah dan meminimumkan kemalangan jalan raya.
Menurutnya selain operasi penguatkuasaan biasa, pihaknya pada masa sama akan mempraktikkan tindakan penguatkuasaan secara digitalisasi dengan menggunakan alat kamera pengesanan had laju ‘In Car Radar’ di sepanjang laluan lebuh raya bagi memastikan pengguna mematuhi had kelajuan ditetapkan.
“Begitu juga dengan penggunaan alat Intelligent Compound Online Payment System (iCOPS) bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan waran tangkap trafik, termasuk kenderaan yang terlibat dalam kes jenayah seperti kenderaan curi mahupun klon,” katanya.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.