PDRM-KERAJAAN MELAKA JALIN KERJASAMA KURANGKAN KADAR JENAYAH
TANJUNG BIDARA 15 Disember – Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus komited bagi memastikan kadar jenayah di Melaka yang juga sebuah negeri pelancongan terkemuka dunia terus merekodkan penurunan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, dalam merealisasikan hasrat itu, kerjasama erat antara PDRM dan Kerajaan Negeri amat penting.
“Sebagai barisan hadapan yang menjadi benteng keselamatan negara, PDRM sentiasa komited dalam memastikan kadar jenayah dapat dikurangkan sekali gus menjadikan Melaka kekal sebagai antara destinasi pelancongan yang selamat dan harmoni.
“Kerjasama erat seperti ini amat penting, khususnya dalam konteks cabaran keselamatan yang semakin kompleks pada masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Sempena Program Kerajaan Negeri Bersama PDRM, di Villa d’Acqua Kampung Pulau, hari ini, yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, Pegawai Kanan PDRM serta kenamaan lain.
Menurut Razarudin, komitmen berterusan Kerajaan Negeri Melaka dalam mendukung program anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka mencerminkan hubungan erat serta sokongan kukuh kepada PDRM.
“Kolaborasi seumpama ini dalam menjayakan beberapa program antaranya Kejohanan Ragbi Piala Rugirawongse 2024, bukan sahaja membawa manfaat berganda tetapi juga bersifat ‘serampang dua mata’.
“Malah program ini juga bukan sahaja berjaya menyemarakkan ‘Community Policing’ antara PDRM dengan masyarakat tetapi turut menyumbang kepada usaha mempromosikan industri pelancongan Melaka seiring dengan aspirasi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.