PDRM ANJUR MAJLIS MAKAN MALAM AMAL DI MITC, 28 DISEMBER DEPAN
KUALA LUMPUR 20 November – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menganjurkan Majlis Makan Malam Amal ‘Blue Serenade Charity Dinner Live With PDRM Orchestra’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 28 Disember depan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, majlis makan malam amal tersebut akan bermula jam 8 hingga 11 malam bakal menampilkan barisan artis terkenal tanah air.
Katanya, pemilihan lokasi di Melaka bertepatan untuk merancakkan lagi Tahun Melawat Melaka (TMM2024).
“Majlis makan malam amal ini akan disertai lebih 75 anggota untuk orkestra PDRM mengiringi persembahan daripada Jamal Abdillah, Ziana Zain, Ella, Jo Branko dan pengacara majlisnya adalah Doughlas Lim.
“Majlis ini bermatlamat untuk menambah dana dan memperkukuhkan kedudukan kewangan tabung kebajikan PDRM yang mana hasil daripada penganjuran majlis ini akan digunakan untuk hal ehwal kebajikan warga PDRM,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Auditorium Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, Datuk Mohd Sukri Kaman, Jamal Abdillah dan Jo Branko.
Mengulas lanjut, Azmi berkata, PDRM turut menganjurkan Karnival Community Policing pada sebelah siang tarikh tersebut di perkarangan MITC.
“Aktiviti pada waktu siang, kita akan melibatkan pameran seperti reruai, jualan, kaunter diskaun saman trafik PDRM, sesi ‘meet and greet’ bersama pucuk pimpinan PDRM dan pempengaruh media sosial.
“Kita juga mengharapkan sokongan daripada semua persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta untuk bersama-sama menyumbang dan menambah dana kebajikan PDRM,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.