PdPR sehingga 31 Ogos, PdP bersemuka mulai 1 Sept
PUTRAJAYA 17 Julai – Sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan sehingga 31 Ogos ini.
Manakala untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka, sekolah akan dibuka secara berperingkat mulai 1 September.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataannya hari ini berkata, keputusan dibuat setelah mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19.
Keputusan katanya setelah berbincang bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)
“PdPR akan diteruskan sehingga 31 Ogos 2021 dan terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.
“KPM sentiasa bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan di sekolah dapat terus ditingkatkan,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, sehingga 16 Julai 2021, seramai 253,366 orang guru dan pentadbir iaitu 61.3 peratus serta 10,876 orang kakitangan sokongan (46.33%) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Mengambil kira kadar vaksinasi ini, KPM katanya telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September 2021.
“Namun begitu, KPM akan terus mengambil kira penilaian risiko oleh KKM dan MKN bagi melihat sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh tersebut.
“Sebarang perubahan akan dimaklumkan lebih awal. KPM akan memaklumkan perincian lanjut mengenai pembukaan sekolah bagi sesi PdP secara bersemuka selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.