PDM Masakan lahir masyarakat berkemahiran tinggi

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

ASAHAN 11 Oktober – Pembangunan fizikal dan modal insan dalam kalangan penduduk di luar bandar antara fokus yang diberikan keutamaan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Melaka.

Terbaharu usaha itu digerakkan KEMAS dengan menaik taraf Kelas Kemahiran Masakan kepada Pusat Daya Maju (PDM)(Masakan).

Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong berkata, PDM (Masakan) adalah satu manifestasi serta komitmen KEMAS untuk terus memajukan masyarakat.

“Difahamkan Program PDM ini dirangka selaras dengan strategi dan inisiatif dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) untuk membawa perkhidmatan sosial terus kepada masyarakat di peringkat akar umbi. Selari dengan itu KEMAS menyediakan pelbagai kemahiran di peringkat akar umbi antaranya jahitan, kraftangan dan masakan.

“Tumpuan semestinya akan diberikan kepada pembangunan modal insan luar bandar bagi menjana pendapatan yang lebih untuk menangani kos sara hidup, sekali gus mencipta peluang pekerjaan di luar bandar.

“Naik taraf Kelas Kemahiran Masakan kepada PDM Masakan dilaksanakan ini juga dapat melahirkan masyarakat bermutu, berkemahiran dan boleh berdikari,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran PDM (Masakan) Dan Program Healthy & Bright Kids Carnival KEMAS Negeri Melaka 2023 di Pusat Kegiatan Masyarakat Selandar, di sini, semalam.

Hadir sama Penolong Pengarah Pembangunan Komuniti dan Kemahiran KEMAS Melaka, Nur Zariqa Mohd Zin dan Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom .

Menurut Chee Leong, PDM (Masakan) menyediakan peralatan memasak yang lengkap sebagai platform kepada masyarakat setempat untuk terbabit secara aktif dalam meningkatkan ekonomi dan pendapatan keluarga.

“Menjadi harapan saya supaya program ini dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin dan berkesinambungan pada masa akan datang dengan memberi manfaat kepada masyarakat.

“Malah program sebegini juga mencerminkan sinergi atau kesepakatan antara KEMAS dan masyarakat setempat dalam menghayati semangat kerjasama selain memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga luar bandar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

595
Kongsi :
Previous post SMIX2023 buka tirai esok
Next post Bulatan Ayer Leleh siap sepenuhnya Sabtu ini
Ubah saiz-+=