PBT terima lebih 4,000 aduan anjing liar

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

SERI NEGERI 28 November – Sebanyak 4,410 aduan berkenaan anjing terbiar dan liar diterima pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bermula Januari sehingga Oktober 2023 yang lalu.

Daripada jumlah itu sebanyak 2,641 aduan diterima Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), 608 aduan diterima Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), 543 aduan di Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan 618 aduan diterima Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, bagaimanapun secara keseluruhan aduan berkenaan telah pun diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Daripada jumlah aduan itu juga, sebanyak 45 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) telah dikeluarkan kepada pemilik yang melanggar peraturan ditetapkan PBT.

“Saya ingin maklumkan di bawah Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan 1976, Seksyen 80 menyebut sekiranya PBT mendapati ada gangguan di kawasan awam atau persendirian, PBT boleh menghapuskan, menghentikan kacau ganggu ini dengan menghantar notis, mengambil tindakan undang-undang serta ganti rugi.

“Manakala Akta Kerajaan Tempatan 171, Seksyen 81 (B) memperuntukkan kuasa kepada PBT untuk mengambil tindakan secara terus ke atas anjing dan kucing terbiar atau liar yang menjadi punca ganggu kepada penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Leng Chau Yen (DAP- Banda Hilir) mengenai jumlah aduan yang diterima dan jumlah tangkapan anjing mengikuti PBT sehingga Oktober 2023 pada hari kedua Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata setakat Oktober lalu sebanyak 1,796 ekor anjing telah dilupuskan mengikut tatacara operasi piawaian pengangkapan pelupusan anjing terbiar di kawasan PBT.

“Kita telah menangkap sebanyak 2,230 ekor anjing yang liar dan terbiar ini, namun hanya 68 ekor anjing sahaja telah dituntut oleh pemilik yang berdaftar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1314
Kongsi :
Previous post Sektor pertanian Melaka terima insentif bantuan RM3.48 juta
Next post Pesara tentera maut, dua lagi cedera
Ubah saiz-+=