Sorting by

×

PAYA RUMPUT PERLUKAN SEKOLAH BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

PAYA RUMPUT 17 Januari – Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput memerlukan sebuah sekolah baharu bagi mengatasi kepadatan murid yang tinggi di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput, ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin berkata, bagi sesi persekolahan 2024/2025 SK Paya Rumput yang juga antara sekolah tertua di Melaka mempunyai jumlah murid kira-kira 1,400 orang selain terdapat juga isu kekurangan bilik darjah.

“Di SK Paya Rumput sekarang ini nisbah muridnya hampir 1:40, sudah maksimum jadi kalau boleh fikirkan mungkin kita perlu ada sebuah sekolah, satu lagi di dalam Kampung Paya Rumput.

“Selaku Adun kawasan saya sendiri juga akan mohon kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya dapat memberi lebih keselesaan kepada anak-anak di kawasan ini.

“Selain itu, kita juga merayu kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) supaya dapat membawa perkara ini ke peringkat KPM yang kita memerlukan bangunan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Kecemerlangan 2024/2025 Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput, yang turut dihadiri Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Paya Rumput Datuk Zali Mat Yasin, semalam.

Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, pihaknya memohon pertimbangan daripada KPM agar perkara ini dapat diberi perhatian dan cadangan pembinaan sekolah baharu dapat direalisasikan.

“Saya difahamkan KPM mempunyai tanah berkeluasan tiga ekar dibahagian belakang ini jadi harapan saya marilah turun ke bawah dan lihat apa yang boleh dibantu.

“Untuk makluman di kawasan Paya Rumput ini sahaja terdapat lebih lapan taman perumahan besar seperti di Taman Paya Rumput Perdana yang mempunyai 2,000 buah rumah, di mana kesemuanya tertumpu kepada sebuah sekolah sahaja iaitu SK Paya Rumput,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

214
Kongsi :
Previous post KAMPUNG DIGITAL LERAIKAN DILEMA PENDUDUK KAMPUNG GUAN
Next post RM5.7 JUTA BANTU SK KAMPONG TENGAH KELUAR DARI ‘KEPOMPONG’ DAIF
Ubah saiz-+=